
PPSMI diperkenalkan tujuh tahun lalu oleh Tun Dr Mahathir yang mahu pelajar sekolah mengusai bahasa Inggeris dalam sains dan teknologi supaya generasi muda negara mampu bersaing dengan masyarakat antarabangsa. Kesan dari perlaksanaan PPSMI ini, sukatan matapelajaran yang asalnya dalam bahasa Melayu telah di tukar kepada bahasa Inggeris, dan pelajar mula didedahkan dengan istilah baru dari bahasa Inggeris seperti add, divide, multiply, liver, stomach, lung dan sebagainya.
Perubahan drastik ini memberi kesan besar kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu akan berubah taraf kepada bahasa pasar dan bukan bahasa ilmu. Memang benar bahasa Melayu masih menjadi bahasa pengantar bagi beberapa matapelajaran yang lain, namun, dengan PPSMI, bahasa Melayu dilihat seolah-olah tidak penting dalam sains dan matematik. Kepupusan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bukan sahaja mula menjalar di sekolah-sekolah, tetapi dikebanyakan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, bahasa Melayu telah hilang tarafnya sebagai bahasa Pengantar. Contohnya di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, hampir semua kursus yang ditawarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar malah buku rujukan dan nota kuliah turut menggunakan bahasa Inggeris.

Keagungan tamadun Islam adalah bermula dari keilmuan yang dimiliki tamadun ini. Sarjana Islam seperti Al-Kindi telah menterjemahkan naskah-naskah ilmu Yunani purba ke bahasa Arab supaya orang Islam dapat mempelajarinya dengan mudah. Malah ilmu tersebut dikembangkan sehingga banyak manuskrip ilmu yang dihasilkan dengan bahasa Arab. Bangsa Jepun telah lama maju dalam sains dan teknologi dengan bahasa mereka sendiri. Begitu juga dengan negara bangsa yang lain. Mereka memiliki jatidiri bangsa mereka dengan bahasa mereka sendiri sehinggakan bangsa lain mahu mempelajari ilmu yang mereka miliki. Misalnya, seorang pelajar Melayu mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Jerman. Sebelum belajar di sana, pelajar tersebut perlu mempelajari bahasa Jerman kerana bahasa Inggeris tiada nilai di negara tersebut.
Dalam kerjaya hari ini, banyak syarikat tempatan yang menetapkan bahasa Inggeris sebagai syarat terima bekerja. Begitu juga dengan bahasa Mandarin. Mana maruah bahasa Melayu? Apakah bahasa Melayu itu dikelaskan sebagai bahasa bawahan atau bahasa kuno? Apakah dengan bahasa Melayu sahaja, anak-anak Melayu menganggur bertahun-tahun kerana tidak fasih berbahasa Inggeris?

Memang benar bahasa Melayu adalah bahasa keempat paling ramai penutur di dunia. Tetapi ia hanya gah sebagai bahasa pertuturan bukan sebagai bahasa ilmu yang penting. Tidak salah jika kita mempelajari bahasa Inggeris kerana ia sebahagian dari tuntutan agama iaitu menuntut ilmu. Namun, apa yang dikhuatiri sekarang, penekanan terhadap bahasa Inggeris akan mengugat keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pejuang bahasa yang berhimpun pada 7 mac lalu bukannya insan yang kolot, bukan insan yang tidak mahu maju. Tetapi insan yang mahu membela bahasa ibunda agar dapat bersaing dengan bahasa lain. Orang kita sibuk dengan bahasa asing, bahasa sendiri dilupakan ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Sekian, terima kasih.
0 ulasan:
Catat Ulasan